Monday, February 16, 2015

Bahasa Lelaki Waktu Sedang Makan - Lelaki Susah Nak Puji Masakan Isteri Secara Lisan

Suka tulisan En. Ahmad Saifuddin Yusof pasal makan ni. Lelaki memang saaaaaaaaaaangat susah nak puji masakan isteri secara lisan. Ibarat kata, biar perut berbicara.

Apabila lelaki sedang makan masakan isteri dan dia makan dalam keadaan diam. Itu bermaksud masakan isteri itu sangat sedap atau dia sangat lapar dan masakan isteri itu sesuai dengan seleranya walaupun sedapnya cukup-cukup sahaja. Selain itu, dia dalam keadaan masalah yang teruk.


Apabila lelaki mahu mula makan dan dia ambil lauk kering dahulu baru lauk berkuah di mana lauk kering itu terletak jauh daripada pinggannya, itu bermaksud lauk kering itu adalah lauk kegemarannya.

Apabila lelaki mengambil lauk berkuah dahulu, kemudian barulah lauk kering, itu bermaksud lauk pilihan yang ada lebih dari satu dan dia mahu fikir dulu untuk buat pilihan. Atau lauk berkuah itu berada paling dekat dengan pinggannya.

Apabila lelaki banyak bercakap sewaktu sedang makan. Makanan itu menepati rasanya, tetapi tidaklah terlalu sedap. Mereka bercakap atas sebab untuk berkongsi tiada kaitan dengan makanan. Ada kemungkinan dia tidak terlalu lapar. Selain itu, mungkin dia terlalu teruja dengan ceritanya.

Apabila lelaki sedang makan selepas suap makanan, sekejap menyandar di kerusi dan berlaku berulang kali. Ada kemungkinan makanan itu kurang disukainya atau dia sudah kenyang. Lebih jelas apabila makanan tidak habis. Lazimnya, lelaki dapat mengagak kadar makanan yang mampu dimakan, apabila tidak habis, ada kemungkinan makanan itu tidak menepati citarasanya. Selain dari itu, mungkin makanan itu terlalu panas yang jenis goreng kering.

Apabila lelaki sedang makan, dia hanya makan tidak lebih tiga lauk yang diletakkan dalam pinggan nasinya. Dia mungkin seorang sangat fokus dalam melakukan sesuatu tetapi kurang mahir melakukan banyak kerja (multitasking) dalam satu masa. Jangan dipaksa ambil banyak lauk. Mereka akan gilir-gilirkan lauk andai menepati seleranya.

Apabila lelaki sedang makan dengan berselera, mereka tidak mampu menangkap dengan jelas cerita isteri. Mereka terlalu fokus pada makanan. Jadi, kongsikan cerita pendek sahaja atau berbual dengan bertanya mereka. Lebih baik biarkan sahaja mereka fokus pada makanan.

Apabila menceduk nasi, tidak perlu tanya kepada lelaki banyak atau sikit. Mereka boleh anggarkan sendiri jumlah makanan sebelum nasi diletakkan di pinggan mereka lagi. Andai banyak, dia akan minta dikurangkan sedikit. Yang jenis mahu isteri faham sendiri berapa jumlah yang dia itu jenis menyusahkan isteri. Manalah isteri tahu jumlah makanan dalam perut suami.

Apabila lelaki sedang makan, lazimnya lebih mementingkan diri. Mereka boleh sahaja berebut lauk dengan anak. Terutama bahagian ayam yang digemarinya. Apabila terkena bahagian yang kurang disukai, seleranya mungkin boleh hilang. Ini mungkin berlaku kepada lelaki berusia kurang 40 tahun. Hehe!

Apabila lelaki sedang makan, ada panggilan telefon. Bagi yang suka telefon, mereka akan jawab panggilan itu walau sesedap mana sekalipun makanan itu. Jangan terasa hati ya kepada orang yang memasak.

Apabila lelaki sedang makan, dia bertanya, "Nasi ada lagi?" Dia sebenarnya risau nasi itu tidak cukup.

Apabila lelaki sedang makan berkata, "Tambah nasi sikit." Jumlahnya separuh daripada jumlah seketul nasi yang besar.

Apabila lelaki sedang makan, dia bertanya, "Lauk ini ada lagi?" Sama ada dia mahu memakan lauk yang baki tanpa nasi atau dia mahu tambah nasi lagi. Atau dia risau lauk untuk keluarga yang lain.

Apabila lelaki sedang makan, dia berkata, "Tambah nasi lagi." Itu bermaksud, dia tahu nasi masih banyak. Sekiranya, dialog ini sama sahaja setiap hari, itu bermaksud dia tidak peduli pun nasi itu cukup atau tidak. Pandai-pandailah isteri agak sendiri. Aduhai!

No comments:

Post a Comment