Monday, February 9, 2015

Trik Syaitan dan Sayang Anak

Antara tulisan En. Ahmad Saifuddin Yusof yang menarik.

Anak kita adalah anugerah dari Allah. Anak yang soleh yang sentiasa mendoakan kita walaupun kita sudah tiada adalah 'saham' yang mahal buat kita.
Dengan penuh kasih sayang kita menjaga mereka sejak dari kecil. Mendidik mereka dengan sebaik mungkin.

Trik Syaitan
Apabila kita terlalu sayangkan anak, kita rasa kasihan untuk memberi pengajaran sama ada dalam bentuk kata-kata yang tegas atau tindakan pada tubuh anak-anak.
Di sini syaitan akan memanipulasi perasaan kita. Syaitan akan terus menghembus hasutan supaya kita bertambah kasihan kepada anak lantaran masih kanak-kanak, atau muda remaja. Sedangkan proses mendidik mesti dilakukan dalam pelbagai bentuk termasuk mengucapkan kata-kata tegas atau menghukum atas kesalahan anak-anak.


Ada dalam kalangan kita yang terlalu kasihankan anak sehingga tidak melatih anak-anak berdikari. Walaupun anak sudah mampu berdikari, ada sesetengah ibu bapa tidak mahu melatih dari awal. Sebagai contoh, anak yang sudah berumur 5 atau 6 tahun, masih lagi disuapkan makanan, tidak membenarkan anak menggalas beg sekolah sendiri, tidak melatih anak menuangkan air sendiri, meletakkan pinggan di sinki, membuka pintu kereta sendiri dan sebagainya.

Sehingga apabila besar, ibu bapa masih menjadi 'hamba' kepada anak-anak. Semua permintaan anak ditunaikan. Segala urusan peribadi anak-anak dilakukan oleh kita sehingga pinggan anak-anak makan pun kita yang basuh. Syaitan akan terus memanipulasi tindakan kita itu atas nama kasih dan sayang kepada anak. Walaupun ia mengundang mudarat yang bertindan-tindan di masa akan datang.
Antara kasih dan kasihan ia adalah dua perkataan yang jauh berbeza.

Tindakan
Tahan perasaan kita. Fikir masa depan anak kita apabila mereka besar kelak. Filem Anakku Sazali lakonan P. Ramlee adalah contoh yang jelas.
Belajar daripada ibu bapa yang berjaya mendidik anak-anak mereka. Hadiri kelas pendidikan anak-anak. Tambah bahan bacaan berkaitan proses mendidik anak-anak. Terima teguran orang lain tentang anak kita. Tahan sikap dan mindset bahawa anak kita 'tidak pernah buat jahat'

2 comments: