Wednesday, November 25, 2009

KOLOSTRUM: CECAIR BERNILAI EMAS

“Engkau dah beranak nanti, mesti buang susu awal yang basi tu tau, nanti anak kau pula yang sakit”, pesan Halimah kepada anaknya yang bakal melahirkan anak sulung kelak.

“Eh, hari pertama tu kau dah ada susu ke? Aku sampai hari ketiga baru susu keluar. Terpaksalah aku bagi anak aku susu tepung sementara menunggu tu…” keluh Aina pula kepada rakan karibnya Maryam.

“Kenapa ye, hari kedua bayi aku lahir, aku perah susu tu warna kuning? Bukan susu patut warna putih ke? Elok ke bagi kat bayi aku tu?” Soal Lina bertalu – talu kepada rakannya. Risau benar dia.

Sesungguhnya, apa yang dibualkan di atas adalah persoalan – persoalan yang sering diajukan oleh ibu – ibu muda. Malah, terdapat pelbagai lagi mitos yang diutarakan mengenai cecair kuning yang pekat dan melekit ini.
Cecair yang dimaksudkan adalah kolostrum atau susu yang dihasilkan oleh seorang ibu pada lingkungan tiga hari pertama selepas kelahiran bayinya. Kolostrum merupakan cecair yang istimewa dan mempunyai pelbagai khasiat penting, khas untuk bayi yang masih lemah dan baru mengenal dunia ini. Ciptaan hebat dari Yang Maha Kuasa ini mempunyai beberapa kandungan tertentu yang amat berharga dan kandungan tersebut tidak terdapat pada susu matang, apatah lagi pada susu formula.

Apakah sifat – sifat cecair yang amat istimewa ini? Kolostrum ini sebenarnya amat kaya dengan antibodi. Terdapat juga banyak sel hidup di dalamnya sehingga digelar “darah putih” oleh sesetengah pakar kanak – kanak. Ia juga bersifat laksatif dan dapat memudahkan pembuangan air besar bayi. Ia juga mengandungi pelbagai Faktor Pertumbuhan (Growth Factor) dan ia amat kaya dengan vitamin A.

Apakah pula kepentingan kolostrum ini? Benarkah pandangan warga dahulu kala yang mengatakan kolostrum ini sebagai susu basi? Tidak sama sekali, malah pelbagai kajian telah dilakukan dan kesemua kajian ini bersetuju bahawa kolostrum dapat memberikan perlindungan maksimum kepada bayi dari sebarang jangkitan. Oleh kerana ia juga bersifat laksatif, ia dapat mempercepatkan proses pembuangan mekonium, yang merupakan di antara faktor utama terjadinya jaundis (demam kuning). Oleh itu bayi yang hanya menyusu susu ibu adalah didapati kurang kuning berbanding dengan bayi yang diberi susu formula. Kolostrum yang mengandungi banyak Faktor Pertumbuhan ini juga dapat mematangkan usus dan seterusnya dapat mengurangkan risiko alergi. Ia turut dapat mengurangkan kesan penyakit dan kandungan vitamin A yang tinggi mampu mencegah penyakit mata pada bayi.

Antara kandungan terpenting kolostrum adalah sejenis protein yang dinamakan Sekretori Imunoglobulin A (SIgA). SIgA adalah sejenis antibodi yang terdapat di dalam kolostrum dengan jumlah yang sangat tinggi. Kira – kira 80-90% daripada immunoglobulin di dalam kolostrum dan susu adalah terdiri daripada jenis SIgA. Kepekatannya boleh meningkat setinggi 12g/L di dalam kolostrum dan serendah 1g/L di dalam susu matang. Menarik untuk diperhatikan, disebabkan proses – proses yang perlu dilakukan ke atas susu formula, ia langsung tidak mengandungi sebarang SIgA. Seorang bayi yang menyusu susu ibu secara eksklusif akan mengambil kira – kira 125mg/kg/hari SIgA pada umur sebulan, dan lebih kurang 75mg/kg/hari ketika berumur 4 bulan. Kepekatan SIgA di dalam kolostrum menurun dengan drastiknya dalam masa beberapa hari selepas kelahiran. Manakala paras SIgA di dalam susu ibu yang melahirkan anak pramatang adalah lebih tinggi berbanding dengan susu ibu yang melahirkan anak matang.

Pihak saintis sudah membuktikan bahawa antibodi jenis SIgA dapat melawan pelbagai jenis bakteria, terutamanya bakteria yang berasal dari sistem usus bayi. SIgA adalah sejenis antibodi yang stabil dan berdaya tahan terhadap enzim proteolitik (enzim pemecah protein) di dalam perut, berbanding dengan antibodi jenis lain. Ketika bayi sedang menyusu, antibodi yang terdapat di dalam susu ibu ini akan bergerak masuk ke dalam saluran perut dan usus. Di dalam perjalanan itu, ia akan bergabung dengan mikrob – mikrob yang terdapat pada membran mukosa (sejenis lapisan yang melapisi sistem usus). Dengan itu, ia dapat menghalang mikrob daripada melekat pada sel – sel usus. Proses pelekatan mikrob pada sel usus merupakan langkah pertama untuk berlakunya sebarang jangkitan kepada bayi. Dengan itu, SIgA berfungsi sebagai salah satu sistem pertahanan bayi yang utama untuk melawan jangkitan usus. Maha Suci Allah, ciptaanNya amat hebat dan tidak mampu disaingi oleh mana – mana ciptaan manusia.

Kajian – kajian klinikal telah menunjukkan bahawa SIgA yang terdapat di dalam susu ibu mampu untuk melawan kuman seperti Vibrio cholerae (kuman untuk penyakit taun), enterotoksigenik E. coli, Campylobacter, Shigella dan Giardia lamblia. Kuman – kuman tersebut biasanya yang menyebabkan keracunan makanan pada manusia. SIgA mampu melindungi bayi daripada serangan cirit – birit yang disebabkan oleh kuman – kuman tersebut. Begitulah istimewanya SIgA yang hanya terdapat di dalam susu ibu.

2 comments:

  1. tahniah, i already be your blog follower, please be mine.tq-ain
    http://wadee-al-ain.blogspot.com

    ReplyDelete
  2. thanx ain. saya pun dah joint blog awak as follower.

    ReplyDelete