Saturday, October 1, 2011

Lelaki juga ada tempoh idah


"Ustaz, lelaki ada ke?"
"Lelaki mana ada idah. Idah hanya untuk perempuan," jawabnya ringkas.
Itu senario yang selalu kita dengar dan kita tahu. Idah, satu istilah dalam bahasa Arab yang bererti "menghitung" dalam konteks perceraian.

Ramai yang tidak tahu bahawa idah juga terikat untuk golongan lelaki! Ternyata sangkaan idah hanya eksklusif untuk wanita dan sinonim dengan wanita harus diubah. Dalam beberapa keadaan, lelaki hakikatnya juga ada idah yang perlu dilalui sama sebagaimana yang dilalui oleh wanita.

Ada tiga keadaan yang menyebabkan seseorang lelaki perlu melalui tempoh menunggu atau pun idah. Pertama, apabila seseorang lelaki yang telah menceraikan salah seorang daripada isterinya yang empat dan ingin berkahwin dengan isteri yang kelima. Dalam hal ini, lelaki tersebut hendaklah menunggu sehingga tamatnya tempoh idah isteri yang diceraikan tersebut.

Kedua, seseorang lelaki yang telah menceraikan isterinya dengan talak tiga. Dalam keadaan ini, jika lelaki tersebut ingin berkahwin semula dengan bekas isterinya, maka dia hendaklah menunggu sehingga isterinya berkahwin dengan lelaki lain, melakukan persetubuhan dengan suaminya yang baru, bercerai dan tamat idah dengan suami yang baru dikahwininya itu.

Ketiga, apabila seseorang lelaki yang telah pun bercerai dengan isterinya dan ingin berkahwin dengan perempuan yang mahram dengan bekas isterinya seperti saudara perempuan kepada bekas isterinya, ibu saudara kepada bekas isteri dan sebagainya. Dalam situasi sedemikian, lelaki tersebut hendaklah menunggu tempoh idah isteri yang diceraikannya berakhir terlebih dahulu.

Pernikahan tidak boleh berlaku dalam tempoh idah dan perkahwinan tersebut TIDAK SAH dan HARAM hukumnya. Apabila dalam tempoh idah, wanita yang diceraikan masih lagi dianggap sebagai isteri dan suami wajib memberi nafkah idah.

Sumber: Majalah Al Islam Oktober 2011

No comments:

Post a Comment