Thursday, December 2, 2010

Adakah Anak Anda Ada Masalah Membaca

Disleksia ialah sejenis kecelaruan membaca, iaitu gangguan pembelajaran paling umum di kalangan kanak-kanak. Keadaan ini bukan disebabkan masalah penglihatan atau kurang pendidikan awal, tetapi dipercayai berpunca daripada keabnormalan dalam otak yang menjejaskan keupayaan seseorang untuk membaca. Seorang kanakkanak menghadapi risiko disleksia yang lebih tinggi jika ada ahli keluarganya yang lain mengalami masalah yang sama.


Kanak-kanak yang mengalami disleksia mungkin kelihatan biasa atau pintar apabila bercakap, tetapi mengalami masalah membaca dan menulis. Justeru, dia mungkin mendapati sukar untuk belajar, menyebabkan keputusannya kurang memuaskan di sekolah. Lambat-laun kanak-kanak ini mungkin terasa dirinya “bodoh”, resah, kurang keyakinan diri, atau mengalami masalah emosi lain.
Jika tidak dirawat lebih awal, ia boleh menyebabkan kanak-kanak tidak mencapai potensi penuhnya, dari segi akademik atau sosial. Namun, jangan salah anggap bahawa kanak-kanak disleksia itu “bebal”. Sebaliknya mereka sering menunjukkan bakat dalam bidang lain, seperti muzik, sukan dan seni.

Tanda Penting

Disleksia ialah masalah sepanjang hayat. Namun begitu, keadaan ini tidak seharusnya menjadi sumber keresahan anak anda atau menjadi penghalang kejayaannya. Dengan intervensi awal, kanak-kanak disleksia boleh belajar untuk mengatasi masalah ini dan mencapai kejayaan di sekolah dan juga dalam kehidupan. Justeru, anda digalakkan untuk mengenali tanda umum untuk mengesan disleksia di peringkat awal hidupnya.
Berbincanglah dengan doktor anda jika:
  • Keluarga anda mempunyai sejarah disleksia.
  • Keupayaan membaca anak anda berada jauh di bawah tahap yang dijangkakan bagi usianya.
  • Mendapati tanda masalah pembelajaran di atas pada anak anda.

Doktor akan merujukkan anda kepada pakar psikologi atau pakar lain untuk menjalankan penilaian formal terhadap anak anda untuk mengesahkan disleksia.

Bantuan untuk Disleksia

Apabila disleksia disahkan, doktor atau ahli psikologi biasanya akan mengesyorkan program pendidikan pemulihan bagi kanak-kanak terbabit. Program khas untuk individu disleksia ini membabitkan guru terlatih khas atau pakar bacaan untuk mengajar teknik dan strategi khusus bagi membantu mereka belajar membaca, menulis, mengeja dan memahami bahasa dengan lebih baik. Kanak-kanak disleksia boleh belajar seperti rakan sedarjahnya yang lain apabila dia mengamalkan teknik dan strategi tersebut.
Sokongan dan galakan ibu bapa boleh mencepatkan lagi proses pembelajaran anak mereka yang mengalami disleksia. Ibu bapa boleh memperkukuh segala yang dipelajari dengan kerap membaca kepadanya dan juga memberinya masa untuk membaca seorang diri atau bersama. Lebih penting lagi, jadikan aktiviti membaca menyeronokkan dengan memilih bahan bacaan yang menarik minatnya. Dan galakkan anak menyertai kegiatan yang dilakukannya dengan baik, seperti melukis, muzik, drama atau bersukan.

Belajar menerusi Bermain

Belajar membaca mungkin lebih berkesan apabila membabitkan permainan. Cubalah permainan berikut:
  • Main makan perkataan. Perkenalkan perkataan baru kepada anak menggunakan biskut abjad. Dia dibenarkan makan biskut apabila menyebut perkataan dengan betul.
  • Main sorok. Tulis perkataan atas kertas dan sembunyikan di sekeliling bilik. Apabila anak anda menemui perkataan kertas yang disorok, suruh dia baca perkataan yang tertulis. Ini akan membantunya mengingati perkataan tersebut.
  • Mencari harta karun. Sembunyikan sesuatu barang (contoh mainan kegemaran anak) dan buat beberapa nota bertulis untuk memandunya mencari barang yang tersembunyi itu. (contohnya pergi ke dapur, lihat di bawah meja, lihat di dalam laci). Ini membantunya membaca dan mengikut arahan.

No comments:

Post a Comment