Seorang ayah mempunyai darjat tinggi dalam keluarga dan lelaki yang tugasnya mencari nafkah serta membahagiakan anak isteri tidak seharusnya diperlekehkan begitu saja, sebaliknya wajar diberi penghormatan.
Meskipun ibu lebih dimuliakan selaras sabda Nabi Muhammad s.a.w yang mengatakan syurga di bawah tapak kaki ibu, ayah juga perlu diangkat seumpamanya kerana peranan dimainkan selaku ketua dan pemimpin dalam keluarga. Umat Islam sekarang seharusnya mengambil kira perkara berkenaan sebagai asas utama menjadi seorang anak yang baik dan menghormati kedua-dua orang tuanya.
Jika dinilai dari perspektif agama, kita sebagai umat Islam perlu menilai bapa sebagai peluang untuk meningkatkan ibadat kepada Allah s.w.t, yakni dengan berbuat baik kepadanya, menabur bakti dan membalas jasa kerana ini cara kita mendapat pahala.
Jangan sesekali kita jadi lupa diri pada jasa seorang bapa yang telah banyak berkorban untuk keluarga. Begitu juga jasa seorang ibu yang tak pernah berkira tentang masa, wang dan segala yang telah dikorbankannya. Paling penting, jangan mudah bersangka buruk pada ayah dan ibu. Sekali hati mereka terluka, tentu kita akan menyesal seumur hidup, apa lagi jika satu hari nanti mereka juga akan meninggalkan alam yang fana ini....
No comments:
Post a Comment