Friday, March 23, 2012

Dar Assakinah: Pusat Pendidikan & Pengajian Agama Warga Emas

Banglo yang diwakafkan oleh Tuan Haji Ir. Mohd Mazlan bin Md Ismail

Pernah dengar Dar Assakinah? Baru-baru ini aku telah ke sana dengan tujuan untuk mengenali Dar Assakinah dengan lebih dekat (sempat joint kuliah yang diadakan malam tu). Ia merupakan pusat pendidikan dan pengajian agama bagi warga emas yang berumur 55 tahun ke atas di bawah kelolaan MAIWP. Buat pengetahuan, Dar Assakinah baru memulakan operasi bermula 12 Mac 2012 baru-baru ini.

Dar Assakinah ini menggunapakai konsep pusat pengajian Islam ala pondok yang menyediakan penginapan dan saraan dan bukan berkonsepkan pusat jagaan warga emas.

Dar Assakinah beroperasi di sebuah banglo yang terletak di atas tanah seluar 1.7 ekar di Kampung Sungai Penchala, Kuala Lumpur yang mana telah diwakafkan oleh Tuan Haji Ir. Mohd Mazlan bin Md Ismail kepada MAIWP bagi tujuan pengajian warga emas. Tempat ini menyediakan kemudahan penginapan yang selesa dan ruang yang besar bagi aktiviti-aktiviti pengajian.


Aktiviti-aktiviti yang dijalankan di Dar Assakinah adalah solat secara berjemaah, kuliah subuh harian, talaqqi Al-Quran dan Tahsinul Quran dan pembelajaran kitab-kitab lama seperti Muniyatul Musolli, Hidayatus Salikin, Fiqh Manhaji dan beberapa kitab lain. Selain itu juga, turut diadakan pembelajaran Bahasa Arab komunikasi, latihan bertarannum dan qiyamullail.

Syarat-syarat kemasukan ke Dar Assakinah adalah berusia 55 tahun ke atas, tidak mengidap sebarang penyakit dan permohonan kemasukan dibuat secara sukarela oleh individu yang berminat. Yuran pendaftaran adalah sebanyak RM100 yang perlu dibayar sekali sahaja dan yuran bulanan sebanyak RM400 bagi menampung kos utiliti, penyediaan makanan dan aktiviti.

Mereka yang berminat untuk mendaftar masuk ke Dar Assakinah boleh menghubungi Ustaz Abdul Rauf bin Abdul Aziz daripada Bahagian Pembangunan Insan MAIWP di talian 03-4047 9444 sambungan 535. Maklumat dan borang permohonan juga boleh didapati melalui laman web MAIWP (klik sini).

Penubuhan Dar Assakinah ini menjadkan MAIWP sebagai perintis kepada Majlis Agama Islam Negeri yang lain dalam mewujudkan pusat pengajian Islam warga emas (Pondok Moden) yang selama ini dijalankan oleh badan-badan bukan kerajaan.

1 comment: