Wednesday, September 15, 2010
Abby Tuntut Duit Hantaran Dari Norman
"SEPATUTNYA Norman Hakim jelaskan dulu hutang wang hantaran kahwin saya sebanyak RM11,111.11 dan kemudian barulah dia beri pula wang hantaran baru kepada orang lain," pinta Abby Abadi, 32, kepada bekas suaminya, Norman Hakim, 34, yang dijadualkan bertunang dengan Memey Suhaiza Suhaimi, 22, pada raya keempat kali ini.
Pengakuan menggemparkan Abby atau nama sebenarnya, Arbaeyah Abdul Manan itu dibuat kepada Rap, baru-baru ini.
Kata Abby, dia tiada hak untuk menghalang Norman bertunang atau berkahwin lagi tetapi meminta agar diselesaikan dulu hutang wang hantarannya lapan tahun lalu (mereka menikah pada 8 Januari 2002) dan apa yang sewajarnya dilakukan sebagai seorang ayah kepada tiga anak mereka, Mohamed Danish Hakim, 7, Marissa Dania Hakim, 5 dan Maria Danisha Hakim, 2.
"Saya bersyukur dengan kehidupan saya dan apa yang baik untuk Norman. Saya tak kisah pun kalau mereka nak berkahwin tapi masalahnya sekarang sebelum dia sediakan wang hantaran baru, dia perlulah bayar hantaran saya dulu. Wang itu boleh juga saya gunakan untuk perbelanjaan anak-anak kami.
"Mereka semakin besar dan perlukan perbelanjaan yang banyak. Selama ini apa yang Norman buat tak seperti yang diucapkannya. Sejak dulu saya menanggung semuanya. Sekarang pun dia masih tak menanggung nafkah anak-anak dengan sepenuhnya. Dia cuma bagi ala kadar dan ikut suka hati.
"Ingatkan apabila sudah berdepan dengannya bolehlah dapat bajet untuk belanja raya tapi tak nampak bayang pun. Selama ini saya berdepan dengan manusia yang tidak ada hati dan perasaan.
"Di lokasi saya buat biasa saja dan kalau perlu bercakap pun berkaitan anak-anak. Kalau tak sebab anak, saya tak perlu ambil tahu apa pun yang terjadi padanya. Banyak perkara yang dia patut selesaikan dan dah berjuta kali saya cakap tapi bak kata pepatah, macam curah air ke daun keladi, tak berbekas langsung.
"Apa yang saya buat dan cakap, seolah-olah tak memberi impak kepadanya. Banyak lagi cerita yang saya simpan, kalau saya keluarkan nanti takut ramai terkejut. Tapi tak perlulah saya buka aib orang, cuma saya tengok dia jenis tak tahu menghormati perasaan saya sebagai wanita, bekas isteri dan ibu kepada anak-anaknya," kata Abby dengan kesal.
Sejak awal perkahwinan lagi tambah Abby, Norman tidak bersedia untuk meletakkan dirinya sebagai seorang suami.
"Saya tak tahu apa yang difikirkannya. Dia hendak buat apa, sesuka hatinya saja dan saya rasa ia tidak patut berlaku. Selama ini saya banyak mengalah dan apabila saya memutuskan hendak bercerai, perkara itu semakin memberi ruang kepadanya untuk bersikap lepas tangan.
"Bagusnya apabila perceraian itu berlaku, terlepaslah bebanan perasaan saya dan dapat memberi tumpuan kepada anak-anak. Barangkali ramai yang kata saya kuat dan untuk itu saya sangat berterima kasih kepada Allah swt kerana beri kekuatan ketika saya sangat memerlukannya.
"Tapi saya juga manusia biasa dan setiap kali terkenang perbuatannya, saya menangis sendiri. Mungkin ramai anggap saya terlalu berterus-terang tapi sebenarnya banyak lagi perkara yang saya pendam," katanya.
Kepada Memey, pnta Abby jangan diulang lagi yang dia dapat menerima anak-anaknya sebagai anaknya sendiri.
"Mereka adalah anak-anak dan zuriat saya dan saya amat berat hati untuk menerima Memey menjadi ibu mereka. Dia langsung tak menghormati perasaan saya. Kalau teringin hendak anak juga, beranaklah sendiri, jangan ambil anak orang.
"Begitu indah susunan kata Norman apabila media bertanya mengenai tanggungjawabnya kepada anak-anak. Berapa sen sangat yang dia bagi. Kalau dia bercakap benar, cuba suruh dia bercakap mengenai perkara itu depan saya.
"Sepatutnya soal pemberian nafkah diputuskan sama ketika hendak bercerai dulu tapi atas nasihat peguam demi tak mahu panjangkan cerita, lebih baiklah ia dibincangkan di luar mahkamah.
sumber: metro
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment