Wednesday, February 25, 2015

Bahasa Lelaki Kepala Serabut Serabai---Wah! Baca Tajuk Ni Pun Dah Buat Kita Serabut. Erkk...

Mungkin ramai wanita di luar sana tak terjangkau akal tahap kemarahan lelaki. Mungkin juga ada yang tak selesa membacanya. Mungkin juga ada yang nak tahu sangat. Tapi aku tetap share ilmu yang dikongsi oleh En. Ahmad Saifuddin Yusof ni untuk rujukan :).


Apabila lelaki berhadapan dengan sesuatu masalah. Bahasa dan tingkah laku mereka berbeza berdasarkan tahap kritikal masalah itu dan situasi semasa yang mereka hadapi.
Sebagai contoh, masalah yang dihadapi adalah terlebih bajet untuk bulan lepas. Jadi, ada bil yang belum dibayar. Kadar masalah itu tidak kronik, tetapi tiba-tiba anak meminta untuk dibelikan hanfon kegemarannya. Respon seorang lelaki akan berbeza daripada situasi normal.
Tetapi, sekiranya tahap masalah itu terlalu teruk dan dia berhadapan dengan situasi yang sama seperti di atas. Responnya adalah lebih berdiam diri dan menjawab perlahan.

Lebih mudah difahami berdasarkan skala berikut :
TAHAP JINGGA
Tahap ini kepalanya terganggu sekejap sahaja. Bagi lelaki yang suka bercakap, pada tahap ini dia akan berleter mengalahkan maknya sendiri. Ada kalanya, hal yang remeh sahaja. Walaupun ada hal yang besar, kadar kemarahannya tidak terlalu teruk. Tahap ini berlaku apabila dia ada masalah² kecil seperti bil lewat bayar, hilang barang keperluan, gangguan kecil di tempat kerja dan sebagainya. Selain itu, apabila dalam keadaan lapar, penat dan mengantuk, tahap serabutnya berada pada tahap ini bagi sesetengah lelaki. Bagi yang 'cool', lapar pun dia tidak kisah, dia boleh cari sendiri.

TAHAP MERAH
Tahap ini boleh berlaku apabila melibatkan peribadi dan perasaan. Pertengkaran yang berpanjangan, masalah yang berlarutan. Difitnah tanpa sebab dan seumpamanya boleh membuatkan lelaki bertukar karakter 180 darjah. Lazimnya, lebih banyak diam dan kehidupan mula tidak keruan. Kain baju yang selalu disidai di tempat khusus mula tidak dipedulikannya. Dengan anak² pun hanya senyum sahaja. Tiada lagi cerita kelakar dari mulutnya, tiada lagi gosip tempat kerja. Diam seribu bahasa. Sudah tidak bercakap tentang makanan. Dia makan sahaja apa yang ada. Dia tidak suka, dia diam sahaja dan akan cakap 'tidak mahu' atau 'tiada selera'.

Tiada ubat melainkan ketenangan hati untuknya. Bagi yang baik, mereka akan mula mendekati masjid, solat dan Al-Quran. Dan mula bertenang perlahan-lahan. Ia akan ambil masa yang lama. Bagi yang lain, mula banyak buang masa dengan lepak bersama kawan². Jika tiada kawan, mereka akan cari 'seseorang' sebagai teman penghibur hati. Bagi yang mampu, tidak pelik akan menambah isteri. Mereka bertindak atas logik sendiri.

Apa tindakan pasangan? Jadikan rumah dalam keadaan tenang, usah dicari lagi salahnya yang lain walaupun berbakul² salahnya sebelum ini. Diam sahaja dan hanya tanya perkara yang penting. Dalam keadaan ini, lelaki dalam mode re-format. Mereka akan restart dan bertindak sendiri. Andai mahu berkongsi cerita, pendekkan setiap cerita. Mereka masih mampu mendengar cerita. Apabila mereka mula bercerita sesuatu, hatinya bertambah tenang, hadiahkanlah masakan kegemaran. Usah dikenang luka yang lama, jalan terus. Suami sudah install OS baru ketika itu, cuma RAM-nya belum cukup bertindak lebih laju. Kuncinya bertenang dan sabar.

Bagi lelaki yang teruk, dia akan buang masa bertahun² lamanya dan langsung tidak peduli hal rumahtangga sehingga berpindah ke tahap seterusnya.


TAHAP HITAM
Semua yang membaca nota ini boleh membuat andaian sendiri. Ketika ini, si lelaki tidak lagi berusaha untuk selesaikan kepalanya yang serabut, sebaliknya dia akan lari dari masalahnya yang bertimpa². Sudah jatuh ditimpa tangga, tertempek taik, dipijak orang, terus tertelan taik lalu muntah terburai. Keserabutan kepalanya sudah sampai ke kemuncak sehingga dia tidak lagi mempedulikan diri dan keluarganya. Tiada siapa yang boleh hidup dengan lelaki sebegini kecuali dia beralih ke tahap merah dan memikirkan keluarga serta dirinya.
Dengan mengingati Allah, hati akan tenang. Dia Pemilik dunia, Dia lebih tahu segalanya.

Monday, February 23, 2015

Bahasa Lelaki dan Diam

Bahasa yang agak kompleks gak ni. Terima kasih En. Ahmad Saifuddin Yusof atas perkongsian ini.


Antara bahasa lelaki yang sukar difahami wanita adalah apabila lelaki diam tanpa sebab.
Apabila lelaki balik dari kerja dan dia diam seribu bahasa. Ia punyai banyak maksud. Antaranya dia terlalu penat lebih dari biasa dan mahu berehat. Ada kemungkinan kerja yang penat itu tidak membuahkan hasil yang sepatutnya, maka dia diam.

Apabila balik dari kerja dan dia diam, tetapi mata seperti menonton tv. Sekejap mata ke arah tv, sekejap melihat hanfon, menaip sesuatu. Kemudian lihat tv semula, kemudian lihat hanfon. Ia bermaksud ada sesuatu perkara yang perlu diselesaikan olehnya. Sama ada masalah besar atau projek besar. Sebaliknya jika dia tidak menaip sesuatu tetapi bermain 'game' itu mungkin dia mahu tenangkan hati dan mahu lupakan masalah yang dihadapinya. Masalah itu pula tidaklah masalah yang teruk. Cuma merunsingkan dia sahaja.

Apabila lelaki diam kemudian tidak lama di rumah dan terus keluar. Makan pun tidak, minum tidak. Ada beberapa kemungkinan, 
1) masalahnya sangat teruk. Dia perlukan ketenangan hati di luar. Mungkin dia ke masjid atau berjumpa kawan² untuk selesaikan masalah itu. 
2) ada perbuatan isteri yang sangat menyakitkan hatinya. Itu sebab dia keluar sebagai tanda protes. Sekiranya dia balik semula, mohon maaf dahulu barulah tanya apa yang berlaku. 
3) jika tersangat kerap berlaku demikian, mungkin dia sudah tidak suka berada di rumah.

Apabila lelaki diam dan asyik baca Al-Quran, baca buku, tengok hanfon sekejap², kemudian hanya tanya tentang makan dan pakaiannya sahaja
1) Itu mungkin bermaksud dia ada lakukan kesalahan peribadi. Usah ditanya apa², sediakan sahaja makan minum untuknya. 
2) Keadaan lepas bertengkar biasanya begitu yakni bertengkar perkara biasa.
Apabila pasangannya sedang bercakap dan lelaki diam tanpa respon. Ketika itu otaknya sudah di tempat lain. Otaknya sedang ligat fikirkan sesuatu sama ada perkara yang difikirkan itu boleh jadi berfaedah atau sebaliknya.

Tips Apabila Lelaki Diam.
1) Jangan sesekali tanya kenapa dia diam. Buat macam biasa sahaja dan sediakan apa yang biasa dilakukan.
2) Apabila dia keluar lama, jangan ditanya apa². Apa dalam kepalanya lebih besar daripada soalan isterinya.
3) Apabila dia mula bersuara, jangan disindir atau perli. Jangan kita pula yang 'moncong' sebagai tanda protes.
4) Andai lelaki memang jenis pendiam sejak lahir. Puan lebih faham apa yang berlaku.

Wednesday, February 18, 2015

Bahasa Lelaki dan Menonton TV

Agak-agak sama tak dengan lelaki kat rumah kita? Ni pandangan En. Ahmad Saifuddin Yusof. So, terpulang pada penerimaan memasing pasal bahasa lelaki semasa menonton tv. Tapi yang cover nangis bab citer sedih mmg rare :D


Apabila lelaki tidak mempedulikan gajet dan perkara lain sewaktu menonton tv, sudah terang lagi bersuluh dia memang suka rancangan itu. Dia akan tercongok di depan tv.

Apabila lelaki menonton tv sambil sekali sekala bermain gajet atau menaip mesej. Rancangan tv ketika itu hanya membuatkan dia berehat sahaja dan mungkin ketawa sekali sekala.

Apabila lelaki sekejap mencatat sesuatu sekejap menonton tv, kemudian berlaku berulang kali demikian. Itu bermaksud dia sedang memikirkan sesuatu dan rancangan tv itu hanya hiasan sahaja di matanya.

Apabila lelaki yang sedang menonton tv tiba-tiba bangun dan langsung tidak peduli pada rancangan tv lazimnya ke bilik atau studio kerja. Itu bermaksud dia sedang serius berfikir dan ideanya sedang mencurah-curah. Jika dia terus keluar rumah, sama ada dia ada urusan penting dengan seseorang atau dia sedang hadapi masalah yang besar dan perlu bersendirian. Ia lebih jelas apabila rancangan tv itu rancangan kegemarannya.

Apabila lelaki sedang menonton tv sambil hirup minuman atau makan snek. Itu bermaksud rancangan itu tidak memerlukan dia berfikir, lazimnya rancangan perlawanan bola sepak. Jika menonton filem yang disukainya, minuman dan makanan mungkin lambat habis.

Apabila lelaki tidak suka sesuatu rancangan, lazimnya dia akan mengucapkan sesuatu bagi menggambarkan rancangan itu. Paling ringkas ungkapan, "Cerita apa ni?" Sambil tukar ke cenel lain. Jika rancangan nyanyian yang tidak disukainya, dikutuk penyanyi itu, jika filem dikutuk ceritanya atau pelakonnya. Jika rancangan bual bicara, dikutuk topik atau panel yang sedang bercakap. Ayatnya ringkas sahaja. Andai ada sambungan ayat lain, ia berkaitan dengan rancangan itu di waktu lain.

Apabila lelaki menonton tv di rumah yang dia tidak biasa dan ketika rancangan kegemarannya berlangsung, dia akan cari jarak yang tidak terlalu dekat, tetapi tempat yang selesa. Lazimnya tempat bersandar.

Apabila lelaki menonton rancangan tv yang digemari, lazimnya mereka tidak baring. Begitu juga dengan wanita. Andai mahu baring juga, lelaki akan baring mengiring sambil menonton tv dan tangan menongkat kepala. Situasi ini berlaku apabila dia sudah sangat penat dan mengantuk. Kemudian dia mungkin tertidur.

Apabila lelaki lama tidak menonton tv. Dia mungkin sedang hadapi urusan penting yang perlu diselesaikan atau masalah yang serius.

Apabila lelaki sedang menonton rancangan yang dia suka, tiba-tiba sahaja dia bangun di bahagian babak yang sedih. Lazimnya, air matanya sudah bergenang. Dia akan 'kaver' dengan pergi ke arah lain atau ke dapur, minum air, atau ke sinki untuk berkumur-kumur tanpa sebab atau terus sahaja ke bilik air dan menangis di bilik air itu semahunya. Kemudian, dia akan keluar sambil buat-buat ada selsema. Paling ekstrem, andai dia masih belum mandi lagi, dia akan capai tuala dan terus ke bilik air, menangis sambil mandi. Lazimnya, dia menangis apabila babak itu ada kaitan dengan dirinya.

Lelaki boleh menonton rancangan atau filem yang sama dengan kadar kesukaan yang sama pada semua babak dalam filem itu. Sangat jarang mereka memilih babak tertentu dan tidak menonton babak yang lain. Jika begitu, filem itu belum capai tahap gemar yang tinggi.

Monday, February 16, 2015

Bahasa Lelaki Waktu Sedang Makan - Lelaki Susah Nak Puji Masakan Isteri Secara Lisan

Suka tulisan En. Ahmad Saifuddin Yusof pasal makan ni. Lelaki memang saaaaaaaaaaangat susah nak puji masakan isteri secara lisan. Ibarat kata, biar perut berbicara.

Apabila lelaki sedang makan masakan isteri dan dia makan dalam keadaan diam. Itu bermaksud masakan isteri itu sangat sedap atau dia sangat lapar dan masakan isteri itu sesuai dengan seleranya walaupun sedapnya cukup-cukup sahaja. Selain itu, dia dalam keadaan masalah yang teruk.


Apabila lelaki mahu mula makan dan dia ambil lauk kering dahulu baru lauk berkuah di mana lauk kering itu terletak jauh daripada pinggannya, itu bermaksud lauk kering itu adalah lauk kegemarannya.

Apabila lelaki mengambil lauk berkuah dahulu, kemudian barulah lauk kering, itu bermaksud lauk pilihan yang ada lebih dari satu dan dia mahu fikir dulu untuk buat pilihan. Atau lauk berkuah itu berada paling dekat dengan pinggannya.

Apabila lelaki banyak bercakap sewaktu sedang makan. Makanan itu menepati rasanya, tetapi tidaklah terlalu sedap. Mereka bercakap atas sebab untuk berkongsi tiada kaitan dengan makanan. Ada kemungkinan dia tidak terlalu lapar. Selain itu, mungkin dia terlalu teruja dengan ceritanya.

Apabila lelaki sedang makan selepas suap makanan, sekejap menyandar di kerusi dan berlaku berulang kali. Ada kemungkinan makanan itu kurang disukainya atau dia sudah kenyang. Lebih jelas apabila makanan tidak habis. Lazimnya, lelaki dapat mengagak kadar makanan yang mampu dimakan, apabila tidak habis, ada kemungkinan makanan itu tidak menepati citarasanya. Selain dari itu, mungkin makanan itu terlalu panas yang jenis goreng kering.

Apabila lelaki sedang makan, dia hanya makan tidak lebih tiga lauk yang diletakkan dalam pinggan nasinya. Dia mungkin seorang sangat fokus dalam melakukan sesuatu tetapi kurang mahir melakukan banyak kerja (multitasking) dalam satu masa. Jangan dipaksa ambil banyak lauk. Mereka akan gilir-gilirkan lauk andai menepati seleranya.

Apabila lelaki sedang makan dengan berselera, mereka tidak mampu menangkap dengan jelas cerita isteri. Mereka terlalu fokus pada makanan. Jadi, kongsikan cerita pendek sahaja atau berbual dengan bertanya mereka. Lebih baik biarkan sahaja mereka fokus pada makanan.

Apabila menceduk nasi, tidak perlu tanya kepada lelaki banyak atau sikit. Mereka boleh anggarkan sendiri jumlah makanan sebelum nasi diletakkan di pinggan mereka lagi. Andai banyak, dia akan minta dikurangkan sedikit. Yang jenis mahu isteri faham sendiri berapa jumlah yang dia itu jenis menyusahkan isteri. Manalah isteri tahu jumlah makanan dalam perut suami.

Apabila lelaki sedang makan, lazimnya lebih mementingkan diri. Mereka boleh sahaja berebut lauk dengan anak. Terutama bahagian ayam yang digemarinya. Apabila terkena bahagian yang kurang disukai, seleranya mungkin boleh hilang. Ini mungkin berlaku kepada lelaki berusia kurang 40 tahun. Hehe!

Apabila lelaki sedang makan, ada panggilan telefon. Bagi yang suka telefon, mereka akan jawab panggilan itu walau sesedap mana sekalipun makanan itu. Jangan terasa hati ya kepada orang yang memasak.

Apabila lelaki sedang makan, dia bertanya, "Nasi ada lagi?" Dia sebenarnya risau nasi itu tidak cukup.

Apabila lelaki sedang makan berkata, "Tambah nasi sikit." Jumlahnya separuh daripada jumlah seketul nasi yang besar.

Apabila lelaki sedang makan, dia bertanya, "Lauk ini ada lagi?" Sama ada dia mahu memakan lauk yang baki tanpa nasi atau dia mahu tambah nasi lagi. Atau dia risau lauk untuk keluarga yang lain.

Apabila lelaki sedang makan, dia berkata, "Tambah nasi lagi." Itu bermaksud, dia tahu nasi masih banyak. Sekiranya, dialog ini sama sahaja setiap hari, itu bermaksud dia tidak peduli pun nasi itu cukup atau tidak. Pandai-pandailah isteri agak sendiri. Aduhai!

Sunday, February 15, 2015

Bahasa Lelaki Kepada Isteri di Waktu Tengahari (Bahasa Lelaki Tentang Makan)

Kalau sebelum ni bahasa lelaki tentang minum. Jom tengok tulisan En. Ahmad Saifuddin Yusof pasal lelaki berkaitan makan plak. **Kejadian adalah waktu tengah hari**

Apabila dia bertanya, "Awak mahu masak atau makan di luar tengahari ini?"
Ia bermaksud 'dia sedang lapar'.


Apabila dia bertanya, "Awak mahu bersiar-siar ke mana petang nanti?"
Ia bermaksud, dia mahu ajak isteri bersiar-siar petang nanti. Tempat yang dia suka.

Apabila dia segera memberi bantuan kerja yang isteri sedang lakukan sebelum makan
Ia bermaksud 'dia memang betul-betul lapar'. Isteri kena cepat-cepat masak atau bersiap andai mahu makan di luar

Friday, February 13, 2015

Bahasa Lelaki Tentang Minuman

Tulisan En Ahmad Saifuddin Yusof yang agak santai tapi berguna untuk orang pompuan. Tapi bak kata nota kat bawah sekali tu, hanya sesuai untuk yang dapat suami yang baik dan rajin je :p.

Apabila ditanya, "Mahu air?"
Dijawab, "Entahlah."
Maksudnya 'dia mahu air cuma risau menyusahkan si penanya'.


Apabila ditanya, "Air apa?"
Dijawab, "Ikut awaklah. Saya tak kisah."
Maksudnya 'dia mahu air kegemarannya, cuma rasa kurang selesa menyebut menunya'.

Apabila dia meminta isteri membikin air. Itu bermaksud dia memang sangat dahaga dan tidak minum air lebih daripada sejam. Memang tekak sudah kering.

Nota : Bahasa ini sesuai untuk suami yang baik dan rajin sahaja. Yang pemalas selamba sahaja order macam di restoran.

Al-Fatihah Buat Ulama Besar Malaysia. Biodata Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat Untuk Kita Kongsi Bersama

Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat telah pulang ke Rahmatullah pada pukul 9.40 malam tadi. Al-Fatihah buat Allahyarham. 

Jika belum mengenali siapa Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat yang sebenarnya, bolehlah ambil masa untuk membaca kisah dan biodata beliau yang agak menarik ini. Semoga menjadi manfaat buat kita semua.

Biodata YAB Dato’ Bentara Setia Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat

Nama : Nik Abdul Aziz bin Nik Mat
Tarikh Lahir: 1931
Tempat lahir : Kampung Pulau Melaka,Kelantan.
Pengajian :
1-Pondok Tuan Guru Hj Abbas, Besut
2-Universiti Deoband India
3-Universiti Lahore Pakistan
4-Universiti Al Azhar
5-Sarjana Muda bahasa Arab
6-Sarjana Perundangan Islam

Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat dilahirkan dalam sebuah keluarga yang sangat kuat berpegang kepada ajaran Islam di Kampung Pulau Melaka, Kota Bharu, Kelantan pada tahun 1931.
Bapanya, Haji Nik Mat bin Raja Banjar bin Raja Abdullah bin Raja Mamat merupakan keturunan Raja Jembal. Bapanya lebih dikenali dengan panggilan Tuan Guru Nik Mat Alim disebabkan beliau arif dalam ilmu-ilmu agama. Beliau terkenal di Kelantan dalam mengendalikan institusi pengajian pondok di Kampung Kedai Lalat.

Di situlah Nik Abdul Aziz mendapat pendidikan awal bersama ratusan pelajar Islam dari segenap ceruk rantau Asia Tenggara. Sejak kecil beliau mempelajari dan mendalami kitab-kitab agama yang muktabar dari Almarhum ayahandanya serta belajar menulis daripada ibunya Hajah Aminah Majid.
Sewaktu usia 9 tahun, Nik Abdul Aziz dihantar berguru dengan Tuan Guru Haji Abas Mohamad di pondok Madrasah Ittifaqiyah, Jertih, Besut, Terengganu. Tuan Guru menuntut ilmu di situ selama setahun sehingga peperangan Jepun berlaku dan pengajian dihentikan buat seketika.

Pada masa ini juga, Tuan Guru berulang alik ke Kampung Sirih, berguru dengan Tok Khurasan dan belajar dengan Tuan Guru Ali Pulau Pisang dalam mata pelajaran Nahu dan Tuan Guru Dato’ Muhamad Nur Ibrahim (bekas Mufti Kelantan) dalam pelajaran Fekah. Setelah perang tamat Tuan Guru menyambung kembali pelajaran secara formal di Ittifaqiyah.

Walaupun usia Tuan Guru masih muda tetapi beliau dapat menguasai kitab Asmuni (sebuah kitab nahu yang agak tinggi) setanding dengan murid-murid yang lebih tua.
Pada tahun 1945 beliau menyambung pelajaran di Jamek Merbawi Al-Ismaili, Kota Bharu hingga 1952. Beliau menyambung pelajaran ke Universiti Darul Ulum di Deoban, India, mendalami ilmu Fekah, Usul Fekah, Tafsir al-Qur’an, Hadis dan lain-lain.

Ketika di India beliau juga telah berguru dengan Sheik al-Hadith dan guru Tarikat yang terkemuka di India iaitu Maulana Mohamad Ahmad Al-Madani dengan mendapat ijazah. Maulana Mohamad seorang pejuang kemerdekaan India yang pertama dan pernah di penjara semasa penjajahan Inggeris.
Pada 1957 beliau menyambung pelajaran ke Pakistan dalam bidang Tafsir. Pada 1958 menyambung pelajaran di Kuliyatul Lughah di Al-Azhar, Mesir dan memperolehi ijazah sarjana muda dalam jurusan pengajian bahasa Arab kemudian menyambung pelajaran sehingga mendapat ijazah sarjana (M.A) dalam jurusan kehakiman dan perundangan Islam selama 2 tahun. Kemudian beliau mendapat diploma pendidikan di Darul Azhar dan pulang ke tanahair Februari 1962.

Perkhidmatan :
Pada 1962 beliau membuka sekolah dengan menggunakan tanah wakaf yang diberi oleh ibu saudara Hajah Kalthom iaitu Sekolah Menengah Ugama Darul Ulum, Pulau Melaka di sebelah petang dan sebelah pagi beliau berkhidmat di Sekolah Menengah Agama Tarbiatul Mardhiyah, Panchor, Kemumin. Pada sebelah malam beliau menjadi guru dan penyelia di sekolah dewasa selama 2 tahun.
Pada 1 Januari 1964 beliau meletakkan jawatan dan berkhidmat di Ma’had Muhammadi, Jalan Merbau, Kota Bharu.

Bidang Politik :
Beliau menjadi ahli PAS sejak 1967. Pada Julai 1967 hingga 1986 beliau menjadi calon PAS dalam pilihan raya kecil Parlimen Kelantan Hilir (sekarang Pengkalan Chepa). Pada tahun 1986 beliau berpindah untuk bertanding di kerusi kawasan Parlimen Bachok dan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Semut Api hingga sekarang.

Pada 1971 beliau dilantik menjadi Ketua Dewan Ulama’ PAS Pusat hingga 1995. Kemudian dilantik Mursyidul Am PAS mengambil alih tempat yang ditinggalkan oleh Tuan Haji Yusuf Rawa.
Pada 1978 Tuan Guru dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Kelantan kemudian Menteri Besar Kelantan pada Oktober 1990. Dari sinilah bermulanya satu era kepimpinan ulama dan peranan serta tanggungjawab beliau bukan satu tugas yang kecil.

Beliau telah menulis beberapa buah buku antaranya ‘Mengapa Saya Tidak Masuk Kristian’ dan beberapa buah buku telah diterbitkan mengandungi siri-siri kuliah dan ceramah.

Pendakwah :
Dengan pengalaman yang ada, beliau telah membimbing pelajar Ma’had Muhammadi dengan menanam kesedaran dan akhirnya timbul satu ‘Halaqat pengajian yang sekarang disebut usrah. Selepas itu wujud sebuah surau yang masih ada di Ma’had Muhammadi Al-Banat, Jalan Merbau, Kota Bharu di mana surau itu dijadikan tempat latihan sembahyang jemaah dan dakwah.

Seorang Petah Bercakap
Tuan Guru lebih dikenali sebagai ulama kerana petah berpidato. Beliau telah diasuh oleh bapanya setiap hari Jumaat di masjid sejak dahulu lagi.
Ucapan beliau terang berserta dengan perumpamaan yang jelas dan memudahkan para pendengar memahaminya. Inilah cara beliau mendapat tempat di hati penyokongnya. Ilmu yang disampaikan merupakan khazanah dan kesetnya tersiar di seluruh negara hingga ke Selatan Thailand dan mendapat sambutan dari setiap peringkat sehingga menjadi bahan rujukan di pusat pengajian tinggi.

Keistemewaan :
Satu perkara yang luar biasa Nik Abdul Aziz, mengendalikan pondok bergerak sejak 1962 hingga sekarang. Beliau tidak pernah berhenti keluar rumah siang dan malam memberi kuliah dan berceramah kepada orang kampung.
Walaupun beliau telah menjadi Menteri Besar, bidang pendidikan tidak pernah ditinggalkan. Setiap malam Jumaat dan Khamis beliau mengajar dan setiap pagi Jumaat mengadakan kuliah kerana bagi beliau mengajar adalah kerja yang paling mulia sebab ia merupakan pekerjaan para Anbia’.

Penghargaan :
Beliau mendapat penghargaan:
1. Jaksa Pendamai (JP) pada 10 Julai 1968 oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Yahya Putra Ibnu Almarhum Sultan Ibrahim.
2. Kesatria Mangku Negara (KMN) oleh Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
3. Dikurniakan Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia peringkat pertama (Al-Isma’illi) SJMK yang membawa gelaran Dato’ pada 30 Mac 1995.

Perkahwinan :
Pada usia 34, beliau mendirikan rumah tangga dengan Datin Tuan Sabariah bin Tuan Ishak bin Raja Awang, berasal dari Kampung Kemumin, Kota Bharu iaitu tahun 1962. Hasil perkahwinan selama 30 tahun itu dikurniakan 10 cahaya mata lima perempuan dan lima lelaki.
Mereka adalah Nik Aini, Nik Umar, Nik Adli, Nik Abdul Rahim, Nik Abduh, Nik Adilah, Nik Muhamad Asri, Nik Amani, Nik Amalina dan Nik Asma’ Salsabila.

Kehidupan beliau sederhana tinggal di sebuah rumah kayu binaan kampung. Ruang tamunya tidak dihiasi dengan set sebagaimana yang menjadi kebiasaan di rumah pembesar negeri. Apa yang ada sebuah almari yang penuh dengan kitab agama.

Beliau juga tidak membenarkan isterinya memakai sebarang perhiasan begitu juga dengan anaknya. Ternyata apa yang ditarbiyahkan ke atas keluarga dilakukan sendiri oleh beliau. Baju Melayu teluk belanga, kain sarung pelikat dan serban sudah menjadi pakaian rasmi beliau.

Ahli Parlimen yang komited :
Sebelum terpilih menjadi ADUN Semut Api dalam pilihanraya umum 1986 dan kemudiannya terpilih menjadi Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri Kelantan, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz telah terpilih menjadi Ahli Parlimen PAS bagi kawasan Pengkalan Chepa selama tiga penggal berturut-turut.

Selama menjadi Ahli Parlimen, beliau telah menyumbangkan pelbagai idea, saranan dan kritikan melalui ucapan-ucapan yang disampaikannya di Dewan Rakyat.

Kerajaan contoh :
Selaku Menteri Besar negeri Kelantan yang ada pada suatu masa dahulu pernah digelar Serambi Mekah itu, sudah pastilah Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz akan berusaha untuk menghidupkan semula sebutan dan fungsi gelaran yang pernah diberikan kepada negeri Kelantan itu.
Satu hal yang menarik ialah di samping kesibukannya menjadi ketua pentadbiran bagi sebuah kerajaan negeri yang secara kebetulan menjadi tumpuan pelbagai pihak dalam dan luar negeri, 

Al-fatihah semoga rohnya dicucuri rahmat


Wednesday, February 11, 2015

Tips Menangani Kanak-kanak Menangisi Orang Tersayang

Daripada Catatan En. Ahmad Saifuddin Yusof 
|
Pesanan Untuk Orang Dewasa Apabila Melihat Kanak-kanak Menangisi Kematian Orang Tersayang.


1. Biarkan dia menangis semahunya. Kanak-kanak tidak akan sesekali meratap. Mereka hanya menitiskan air mata dan tersedu-sedu menahannya.
2. Usah ditawarkan apa-apa barangan atau makanan untuk menarik perhatian kanak-kanak itu. Biarkan sahaja dan memeluknya andai dia sudi dipeluk.
3. Usah menyuruhnya bersabar, kanak-kanak memang seorang penyabar secara fitrah. Mereka tidak akan meratap-ratap dan meraung sekuat hati ataupun mengamuk.
4. Andai mampu, menangis bersamanya. Tanda kita memahami perasaannya.
5. Selepas kanak-kanak menangis, lazimnya dia akan lapar. Barulah menawakan kepadanya makanan berkhasiat sama ada nasi dan sebagainya. Andai anak itu tidak mahu, tanya elok-elok, dia mahu makan apa.
6. Jika anak itu tidak mahu makan bermakna dia tidak sangat lapar. Jadi, usah paksa anak itu makan. Kanak-kanak yang lapar akan segera meminta makanan.
7. Selepas anak itu berhenti menangis, usah diulang-ulang cerita yang menyebabkan dia teringatkan orang tersayang itu. Jangan sesekali buat lawak bodoh. Layan sahaja dia mahu buat apa sama ada waktu makan atau waktu dia lakukan sesuatu.
8. Sentiasa berada hampir dengan kanak-kanak itu terutama sehari dua hari selepas kematian. Jangan sesekali jauhkan diri dari anak itu.

Monday, February 9, 2015

Trik Syaitan dan Sayang Anak

Antara tulisan En. Ahmad Saifuddin Yusof yang menarik.

Anak kita adalah anugerah dari Allah. Anak yang soleh yang sentiasa mendoakan kita walaupun kita sudah tiada adalah 'saham' yang mahal buat kita.
Dengan penuh kasih sayang kita menjaga mereka sejak dari kecil. Mendidik mereka dengan sebaik mungkin.

Trik Syaitan
Apabila kita terlalu sayangkan anak, kita rasa kasihan untuk memberi pengajaran sama ada dalam bentuk kata-kata yang tegas atau tindakan pada tubuh anak-anak.
Di sini syaitan akan memanipulasi perasaan kita. Syaitan akan terus menghembus hasutan supaya kita bertambah kasihan kepada anak lantaran masih kanak-kanak, atau muda remaja. Sedangkan proses mendidik mesti dilakukan dalam pelbagai bentuk termasuk mengucapkan kata-kata tegas atau menghukum atas kesalahan anak-anak.


Ada dalam kalangan kita yang terlalu kasihankan anak sehingga tidak melatih anak-anak berdikari. Walaupun anak sudah mampu berdikari, ada sesetengah ibu bapa tidak mahu melatih dari awal. Sebagai contoh, anak yang sudah berumur 5 atau 6 tahun, masih lagi disuapkan makanan, tidak membenarkan anak menggalas beg sekolah sendiri, tidak melatih anak menuangkan air sendiri, meletakkan pinggan di sinki, membuka pintu kereta sendiri dan sebagainya.

Sehingga apabila besar, ibu bapa masih menjadi 'hamba' kepada anak-anak. Semua permintaan anak ditunaikan. Segala urusan peribadi anak-anak dilakukan oleh kita sehingga pinggan anak-anak makan pun kita yang basuh. Syaitan akan terus memanipulasi tindakan kita itu atas nama kasih dan sayang kepada anak. Walaupun ia mengundang mudarat yang bertindan-tindan di masa akan datang.
Antara kasih dan kasihan ia adalah dua perkataan yang jauh berbeza.

Tindakan
Tahan perasaan kita. Fikir masa depan anak kita apabila mereka besar kelak. Filem Anakku Sazali lakonan P. Ramlee adalah contoh yang jelas.
Belajar daripada ibu bapa yang berjaya mendidik anak-anak mereka. Hadiri kelas pendidikan anak-anak. Tambah bahan bacaan berkaitan proses mendidik anak-anak. Terima teguran orang lain tentang anak kita. Tahan sikap dan mindset bahawa anak kita 'tidak pernah buat jahat'

Sunday, February 8, 2015

Bahasa Lelaki dan Telefon

Agak menarik tulisan En. Ahmad Saifuddin Yusof kali ni :).

Apabila suami menelefon isteri, mesti ada perkara yang mesti diputuskan. Lelaki tidak menelefon hanya suka-suka di hari kerja seperti zaman bercinta dulu.


Apabila suami bertanya, "Awak sudah makan tengah hari tadi?"
Itu bermaksud, 'dia mahu ajak makan di luar tengah hari atau petang nanti'.
Jawab soalan dia dan beritahu masa jika kita sudah makan.

Apabila suami menelefon dan bertanya, "Awak ada mesyuarat hari ini?" Atau, "Kita ada urusan apa hari ini?"
Itu bermaksud, 'dia akan pulang lewat hari itu'.
Jadi, jawab sahaja soalan dan tunggu makluman dari dia. Jangan tanya, 'kenapa'.

Apabila suami telefon banyak kali dan kita tidak sempat angkat. Itu bermaksud dia ada masalah. Diam sahaja apabila dia membebel dan terus minta maaf.

Apabila suami telefon kemudian dia diam sahaja.
Itu bermaksud dia memang sangat sibuk sehingga tertekan telefon.
Hehe!

Saturday, February 7, 2015

Trik Syaitan dan Sayang Suami

Ini merupakan tulisan dari FB En. Ahmad Saifuddin Yusof.

Sebagai isteri yang baik, sudah tentu kita sangat sayang kepada suami. Tahap sayang kita kepada suami itu sehingga kita tahu segala-galanya tentang suami. Apa tarikh lahirnya, nombor IC-nya makanan kegemaran, warna kegemaran, artis kesukaan, pasukan bola yang diminati dan sebagainya.
Syaitan boleh memanipulasi cinta dan kasih kita kepada suami supaya rumahtangga kita porak peranda dan suami akan mula beralih arah.


Trik Syaitan
Dengan mempergunakan cinta dan kasih kita yang tidak berbelah bahagi kepada suami, maka kita akan sedaya upaya berusaha untuk mengetahui segala-galanya tentang suami iaitu apa dia buat, dia bercakap dengan siapa, dia jumpa siapa, gembira atau sedihnya dan hal-hal lain.

Kita rasa, dengan mengambil tahu segala-galanya maka itu adalah tanda cinta kita kepada suami. Dengan logik itu syaitan mula menggoda dan menghasut kita agar menyelidiki segala tindak tanduk suami secara tidak langsung. Kita mula membaca mesej di dalam hanfonnya, menyemak log panggilannya, terus bertanya apabila dia pulang lewat, menyemak belanjanya dan pelbagai lagi. 

Sekiranya, ada perkara yang tidak jelas maka kita mula bertanya suami berkenaan hal itu. Apabila suami mengelak atau tidak mahu menjawab pertanyaan kita, syaitan menambahkan hembusan triknya lagi dengan memberi gambaran buruk tindakan suami kita itu.

Ditambah pula hembusan trik syaitan kepada kawan-kawan yang menjadi tempat kita mengadu perihal rumahtangga. Syaitan akan memberi gambaran buruk tentang aduan kita kepada kawan-kawan. Segala sangkaan kita itu terus disokong tanpa bias. Maka kita mula berlinang air mata memikirkan nasib sendiri.

Lalu bermulalah episod hidup yang penuh sangkaan kepada sang suami yang kita tidak tahu apa yang dia sedang hadapi. Kita rasa tindakan kita betul atas faktor cinta dan kasih kita kepada suami.

Tindakan.
Sebagai tanda cinta dan kasih kita kepada suami, kita hanya perlu menjaga hatinya dan hal ehwal urusan rumah sebagai mana maklum dalam perkara tanggungjawab seorang isteri. Melapangkan hati suami apabila dia berada di rumah adalah tanda cinta dan kasih kepadanya Apabila hati suami itu tenang dan tidak rasa terganggu, dia akan menyerahkan segala kudrat dan upayanya membahagiakan isteri tercinta.

Bagaimana pula dengan tindakan suami yang tidak mahu memberitahu segala tindak tanduknya? Jawapannya, itu adalah urusan peribadinya, sebagai isteri kita laksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai isteri kepada suami.

Manakala suami juga terikat dengan tanggungjawabnya kepada isteri dan keluarga, seandainya dia tidak melaksanakannya dengan baik dan melakukan maksiat diluar pengetahuan kita, maka itu adalah dosa peribadinya dengan Allah.

Biar Allah yang menilai segala tingkah lakunya. Apabila kita berusaha memenuhi tuntutan Allah dengan melaksanakan tanggungjawab kita sebagai isteri, Allah tentu akan menjaga kita dan tidak membiarkan kita dalam kedukaan selama-lamanya.

Cinta berdiri dengan percaya, bukan dengan sangka-sangka.

Thursday, February 5, 2015

Bahasa Lelaki dan Lapar

Bahasa lelaki dan lapar, tulisan oleh En. Ahmad Saifuddin Yusof.

Ni lelaki yang kehausan

Apabila lelaki sekejap masuk dapur, sekejap keluar. Kemudian masuk semula ke dapur. Itu bermaksud dia sangat lapar.

Apabila isteri atau ibu sedang masak, kemudian dia masuk dapur dan tanya menu, itu bermaksud dia sedang lapar tetapi tidak terlalu lapar.

Apabila sebelum balik ke rumah dari tempat kerja suami telefon isteri dan bertanya mahu makan apa malam ini. Itu bermaksud dia terlepas makan tengahari tadi. Memang dia lapar.

Apabila lelaki balik rumah dan tidak ada apa-apa makanan. Tiba-tiba anak meragam dan dia pula naik angin, sama ada dia ada masalah atau dia sangat lapar.

Apabila sebelum maghrib lelaki sudah tanya tentang makan. Bermaksud sama ada dia mahu belanja makan di luar atau dia sudah lapar dan perlu makan malam awal.

Apabila lelaki makan makanan lain sewaktu isteri sedang memasak seperti biskut, kek dan sebagainya sedangkan makanan itu bukan kegemarannya, bermaksud dia sedang lapar. Sangat lapar.

Apabila lelaki ajak keluar jalan-jalan beberapa ketika selepas makan malam. Itu bermaksud dia mahu makan lagi.

Apabila lelaki berkata, "Saya rasa lapar." Jangan ditanya kenapa lapar dan kenapa tidak makan tadi. Hehe!

Tuesday, February 3, 2015

Bahasa Lelaki dan Waktu Pagi di Hari Kerja

Bahasa lelaki dan waktu pagi di hari kerja oleh En. Ahmad Saifuddin Yusof


Apabila lelaki berkata, "Baju saya sudah gosok belum?" Itu bermaksud dia mahu isteri sterika bajunya. Sama ada dia tidak sempat, malas dan memang tidak 'reti' langsung sterika baju.

Apabila lelaki berkata, "Saya sudah lewat ni." Itu bermaksud dia memang sudah sedia lewat, lebih kurang 5 hingga 10 minit lalu sudah di atas jalan.

Apabila lelaki berkata, "Awak ada nampak stokin saya?" Itu bermaksud dia tidak mahu cari sendiri atas faktor dia sudah penat cari, dia malas atau memang dia jenis 'king' dalam rumah.

Apabila lelaki berkata, "Balik nanti awak mahu beli lauk atau saya beli lauk?" Itu bermaksud, dia mahu makan di rumah dan dia sudah 'sengkek' atau mahu berjimat cermat.

Apabila lelaki berkata, "Awak ada mesyuaratkah hari ini?" Itu bermaksud dia mahu isteri ambil anak di sekolah, pusat asuhan atau tadika. Apabila ditanya, baru dia cakap ada kerja lain petang nanti.

Apabila lelaki berkata, "Minyak kereta itu saya sudah isi malam tadi." Itu bermaksud dia mahukan penghargaan, paling kurang ucapkan terima kasih. Lebih baik doa terus untuknya.

Apabila lelaki bertanya, "Kita mahu balik bila rumah mak?" Itu bermaksud dia ada urusan salah satu hari di hari minggu. Lebih jelas apabila dia tanya beberapa kali soalan yang sama.

Sunday, February 1, 2015

Bahasa Lelaki dan Beli Barang

Macam N3 sebelum ni, aku share tulisan En. Ahmad Saifuddin Yusof
Kali ni bahasa lelaki dan beli barang:

Apabila ditanya isteri berapa harga barang yang dibeli dan suami menjawab, "Entahlah, saya lupa. Dua lim ringgit rasanya." Sebenarnya harga barang itu lebih mahal mungkin lebih mahal RM15 atau 2 kali ganda daripada harga yang disebutnya dan dia ingat harga sebenar.


Apabila lelaki ditanya isteri, "Boleh saya beli .... hari ini?" Apabila dijawab, "Belilah banyak pun tidak mengapa." Atau seerti dengannya, itu bermaksud dia ada duit. Pandai-pandai isteri ayat mahu beli benda lain. Jangan ditanya, "Abang ada duit ke?" "Datang dari mana?" Minta sahaja barang yang puan mahu.

Apabila lelaki berkata, "Kita beli barang ini ya." Yakni barang peralatan rumah seperti vakum, penyapu, penyodok atau apa sahaja peralatan dalam rumah. Itu bermaksud dia sedang rajin dan mahu buat kerja rumah. Cakap sahaja, "Abang mahu beli, abang beli sahaja." Jangan banyak soal. Nanti puan akan seronok melihat gelagat suami mengemas rumah.

Apabila lelaki bertanya, "Awak mahu keluar membeli hari ini?" Itu bermaksud dia mahu beli barang juga.

Apabila lelaki berkata, "Saya mahu keluar beli barang sekarang." Itu bermaksud dia ada kerja segera untuk disiapkan melibatkan barang yang ingin dibeli itu. Tetapi jangan pelik, apabila pulang dia tidak buat apa-apa. Itu bermaksud plannya berubah sewaktu balik dari beli barang atau barang itu tidak ada di kedai dan dia sudah tiada motivasi mahu buat.

Apabila lelaki membeli peralatan pelik-pelik, usah ditanya apa-apa, biarkan sahaja. Ada sesuatu kerja yang ada dalam fikirannya, walaupun ada yang hangat-hangat taik ayam sahaja. Asalkan janganlah barang terlalu mahal.

Apabila lelaki beli barang tertentu dan isteri bertanya barang itu. Dia menjawab mahu lakukan perkara sekian-sekian. Pada hari itu, jangan diganggu jadual kerja yang sudah ada dalam kepalanya. Jika mahu ke mana-mana, tanya dahulu suami. "Abang ada mahu siapkan apa-apa kerjakah hari ini?"

Apabila lelaki ditanya isteri untuk membeli barang tertentu dan dia menjawab, "Lain kalilah kita beli." Itu bermaksud sama ada dia tiada duit dan mungkin lari bajet, atau barang itu terlalu mahal, atau dia memang kedekut atau dia sedang berjimat cermat untuk menyimpan duit.

Apabila beratur di kaunter bayaran dan lelaki melihat wang dalam dompetnya, dia sedang mengira-ngira duitnya cukup atau tidak untuk bayar.

Apabila lelaki menunggu di depan cashier selepas barang diimbas, bermaksud dia akan bayar barang yang dibeli.

Apabila lelaki bergerak melebihi kaunter dan tidak bercakap apa-apa, dia memang tiada duit untuk bayar. Malu cik kak oii...

Apabila lelaki bergerak melebihi kaunter dan bertanya, "Awak bawa duit?" Itu bermaksud dia ada duit tetapi tiada wang tunai waktu itu.

Apabila lelaki bertanya, "Awak ada bawa duit cukup?" Itu bermaksud dia mahu atau boleh 'topup' dengan wangnya sekali.

Nota : Bahasa di atas tidak melibatkan pemegang kad kredit.